Wednesday, August 18, 2010

Kebaikan atau Faedah Mengisi Masa Lapang

Hari ni aku nk tulis yg berfaedah sikit la tuk tatapan kita semua..;)


Kebiasaannya kita akan memiliki masa lapang, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu atau satu bulan. Masa lapang yang kita miliki boleh menjadi amat bernilai jika kita tahu mengisinya dengan pelbagai aktiviti sampingan. Masa lapang boleh diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti bersukan, melakukan kerja-kerja ringan, menambahkan pengetahuan, berhibur dan beriadah.

Masa lapang bermaksud masa yang tidak digunakan pada ketika kita memiliki keupayaan untuk melakukan sesuatu. Kita tidak berasa letih, kita tidak ada tugasan yang hendak diselesaikan pada ketika itu. Inilah masa lapang. Alangkah bagusnya jika masa lapang yang kita miliki itu dapat kita manfaatkan untuk menenangkan diri. Salah satu aktiviti ringkas yang boleh dilakukan semasa kelapangan ialah berzikir dan mengingati Tuhan. Aktiviti kerohanian seperti ini dapat menyucikan akal fikiran dan jiwa kita supaya kita berasa lebih tenang dan damai.

Sekiranya kita sibuk dengan pelbagai tugasan dan kerja sehingga tidak dapat bersosial dan bergaul dengan orang-orang di sekitar kita, maka pada masa lapanglah merupakan waktu yang paling sesuai untuk kita mengeratkan kembali perhubungan kita dengan orang lain. Kita boleh gunakan masa lapang yang ada ini untuk meningkatkan kefahaman antara satu sama lain.

Kita juga boleh menggunakan masa lapang yang ada untuk menambahkan pendapatan sampingan. Menambahkan pendapatan dan keuntungan tidak terhad kepada wang semata-mata, tetapi juga menerusi peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran menerusi aktiviti seperti membaca, menonton internet, menghadiri kelas-kelas kemahiran dan sebagainya. Aktiviti menulis blog juga merupakan satu cara mengisi lapang yang baik. Kita bukan sahaja dapat mengeluarkan pandangan, malah dapat juga menjana wang sampingan.



Masa lapang juga boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan diri seperti mengurangkan berat badan, bersenam dan sebagainya. Pada waktu pagi kita boleh melakukan senaman seperti yoga dan tai chi, pada waktu petang pula kita boleh beriadah seperti bermain bola sepak, berkayak, berjoging dan sebagainya. Secara tidak langsung otot-otot fizikal kita akan menjadi semakin kuat dan daya ketahanan badan meningkat.

Kesimpulannya, masa lapang yang kita miliki umpama emas yang berharga. Kita sebagai manusia hendaklah menggunakan masa ini untuk perkara-perkara yang boleh mendatangkan pelbagai kebaikan kepada diri kita dan juga orang lain, agar mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sekian dahulu karangan ringkas mengenai penggunaan masa lapang dengan bijaksana. Masa itu percuma tetapi lebih bernilai daripada emas. Masa itu emas? Bolehlah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...