Thursday, August 19, 2010

Adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan

Adab-adab tersebut adalah:

Pertama:
Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa… sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

Kedua:
Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagaimana firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa. (al-Baqarah 2:183)

Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan.

Keempat:
Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.

Kelima:
Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu. (al-Tahrim 66:06)

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:

1. Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.
2. Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.
3. Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
4. Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.
5. Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.
6. Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
7. Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
8. Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...